Sejarah Tawau Masyarakat Indonesia Di Sabah

Tawau adalah sebuah bandar yang terletak di sudut tenggara negeri Sabah. Dahulunya Tawau dikenali sebagai 'Tanjung' oleh masyarakat tempatan ( natives ). Mengikut sejarahnya, daerah Tawau dahulunya adalah di bawah kekuasaan Kesultanan Sulu termasuklah daerah Sandakan ( Sanda'anĀ : pajakan ( dalam bahasa Sulu ) dan Lahad DatuĀ : Tempat Persinggahan Datu ( dalam bahasa Sulu ) dan Kudat. Tawau seperti juga Sandakan dan Kudat dianggapkan sebagai 'Tanah Besar' bagi masyarakat Suluk bersama-sama masyarakat Tidung, Sungai, Dusun dan Ida'aan. Tidaklah hairanlah semasa kedatangan British, telah wujud penempatan kecil kaum nelayan di kawasan Tawau ini yang merupakan terdiri dari kalangan masyarakat Melayu Suluk dan Melayu Tidung. Mereka telah diiktiraf oleh Kerajaan British dan masyarakat Cina sebagai kaum peribumi atau 'natives'.

Setelah penyerahan kuasa daripada Kesultanan Sulu kepada British Chartered Company pada 1878, Tawau telah ditadbir dengan lebih teratur. Pejabat Residen dan Pejabat Daerah ( District Office ) telah dibina yang mana Residen dan Pegawai Daerah berbangsa Inggeris telah dilantik. Seorang penduduk tempatan Sabah, Kee Abdullah ( berbangsa Sino-Dusun yang dibesarkan oleh dalam keluarga Suluk Kudat dan berkahwin dengan gadis Melayu Suluk Tawau ) juga telah dilantik sebagai pegawai kerajaan yang pertama di Tawau pada 16 Oktober 1898. Beliau kemudiannya dilantik menjadi Penghulu pertama dan bergelar Orang Kaya Kaya ( OKK ). Bersama-sama beliau, telah dilantik beberapa orang Melayu tempatan Tawau untuk bekerja di pejabat daerah Tawau seperti Habib Sheikh, Imam Mustafa dan Serang Saman.

Kedatangan masyarakat Cina di Tawau bermula pada tahun 1900 sebagai buruh kasar yang dibawa oleh syarikat British untuk bekerja di lombong arang batu yang terletak di Silimpopon, 80 km dari Tawau. Mereka adalah buruh kepada syarikat perlombongan Cowie Harbour Coal Company yang mana perlombongan arang batu syarikat ini merupakan hasil eksport utama pada masa itu. Selain itu, masyarakat Cina kemudiannya mengambil peluang menjalankan perniagaan kecil-kecilan di kalangan masyarakat tempatan ( natives )iaitu masyarakat Suluk, Tidung, Bulungan. Masyarakat Cina ini senang bergaul dan mudah menyesuaikan diri dengan masyarakat tempatan Tawau pada ketika itu, tidak kurang ramai juga yang telah berkahwin dengan masyarakat tempatan.